Saturday, 10 January 2015

LATAR BELAKANG

Ditubuhkan pada 5 Februari 2011, Eureka Success Training Centre (ESTC) merupakan sebuah organisasi yangmenganjur dan mengelola bengkel, seminar, pameran, kursus, kem dan pengacaraan.ESTC yang terdiri daripada tiga orang pengasas utama ini didaftarkan di bawah Ordinan Pelesenan Perdagangan 1948 pada 23 Februari 2011.

Idea penubuhan ESTC bermula apabila ESTC melihat peluang kemajuan dan peningkatan potensi diri dan pencapaian akademik dalam kalangan pelajar khususnya pelajar-pelajar sekolah menengah dan IPT. Ramai pelajar yang berkebolehan dan bijak belaka namun kurang menyerlah di dalam beberapa aspek penting yang lain. Misalnya, pelajar pintar yang sering meraih keputusan ‘A’ namun mempunyai keyakinan diri yang rendah, tidak mempunyai ‘soft skill’, kemahiran memimpin dan pelbagai lagi aspek lain yang nyata amat penting dan diperlukan pada zaman serba maju kini. Terdapat juga situasi pelajar yang serba boleh. Yakni pintar dalam akademik, aktif di dalam kegiatan ko-kurikulum, berjawatan di sekolah namun mempunyai masalah dalam pengurusan masa yang seterusnya akan menjejaskan potensi pelajar ini secara keseluruhan.

Menurut teori Gestalt, manusia adalah satu organisma yang bersepadu atau saling berhubungkait di antara satu sama lain yang terdiri daripada fizikal, mental, spiritual dan emosi. Semua komponen ini berfungsi secara keseluruhan atau berada di dalam kesatuan.Manusia juga berinteraksi dengan persekitarannya. Oleh itu, selari dengan teori ini, ESTC menyediakan pakej modul, kem, kursus dan sebagainya yang diyakini mampu menyedarkan para pelajar tentang potensi dan tanggungjawabnya.

Teori Realiti juga menegaskan peri pentingnya seseorang itu memahami dan mengetahui tanggungjawabnya. Pengabaian tanggungjawab ini yang kelak menjurus kepada tingkahlaku yang negatif. Sikap tanggungjawab ini dapat ditonjolkan melalui penekanan aspek-aspek positif seperti potensi individu, kejayaan, kelebihan dan kualiti positif dalam diri individu.

Dengan adanya penggarisan dan penyediaan modul-modul yang unik dan menyeluruh, ESTC mengharapkan para pelajar dan masyarakat umumnya, beroleh manfaat dan melihat peluang dan ruang memperbaiki dan memantapkan diri secara holistik.